Segala pujian terkhusus bagi Allah s.w.t, Pencipta sekalian alam. Selawat dan
salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w serta seluruh pejuang
kebenaran sehingga akhir zaman.
Manusia merupakan makhluk istimewa dicipta oleh Allah s.w.t namun,
keistimewaan tersebut bergantung kepada realiti dirinya, kesedaran serta
ketaatan terhadap apa yang diperintahkan oleh Penciptanya. Kemuliaan
manusia sehingga dilantik menjadi khalifah dan diangkat menjadi rasul-rasul dan
nabi-nabi adalah membuktikan tentang hakikat kejadian tersebut serta
tanggungjawab yang bakal dipikul olehnya.
Cabaran duniawi yang besar serta liputan kebenaran yang sentiasa tertutup oleh
pandangan kebendaan, hawa nafsu dan dorongan jiwa yang rendah
menyebabkan manusia sentiasa mencari jalan-jalan yang pelbagai. Ada yang
cuba mengerti hakikat kejadian alam dan keindahan; lalu ia tersungkur dengan
keindahan alam yang tidak berpenghujung kepada Penciptanya. Ada yang
mencari kedamaian dengan melalui pelbagai jalan yang difikir oleh akal, tanpa
panduan Ilahi; lalu ia melalui jalan-jalan kesesatan dan berakhir dengan
kefanaan dalam kesesatan. Benarlah wahyu Allah s.w.t dalam hadis Qudsi yang
bermaksud:
Betapa banyak angin yang bertiup mematikan lampu-lampu,
Betapa ramai abid, musnah disebabkan rasa bangga dan ujub,
Betapa ramainya orang kaya, musnah kerana kekayaannya,
Betapa ramai orang fakir, musnah kerana kefakirannya,
Betapa ramai orang yang sihat, musnah kerana kesihatannya,
Betapa ramai orang alim, musnah kerana ilmunya,
Betapa ramai orang jahil, musnah kerana kejahilannya
Pencarian jalan yang benar mestilah lahir dari kesedaran yang benar kemudian
melalui hanya lorong-lorong makrifah yang telah dirintis oleh Rasulullah s.a.w
dan para sahabat. Pencarian ini bilamana telah melalui jalannya yang benar,
bukan sekadar mampu mengutip mutiara keindahan makrifah, tetapi jauh di
sebalik itu, ialah kemampuan untuk membawa dan membesarkan laluan
tersebut, agar dengannya tidak akan membawa manusia ke jalan yang sesat,
dan memandu manusia lain untuk melalui jalan tersebut.
Sebahagian manusia takut untuk melalui jalan-jalan yang masih kabur, agar ia
selamat dari kesesatan; walaupun di saat yang sama ia berada dalam
kegelapan. Terdapat pula kumpulan yang berhati-hati untuk menempuhi jalanjalan
ini. Tindakan ini ada kebaikannya, kerana bilamana datang pertunjuk dan
panduan maka ia akan menerangi jalan-jalan yang gelap tersebut, dan ia
seharusnya menjalani jalan-jalan tersebut setakat yang ia yakin dengan
kebenarannya. Hakikat ini dijelaskan oleh Allah s.w.t dengan firman-Nya yang
bermaksud:
“Kilat itu pula hampir-hampir menyambar penglihatan mereka; setiap kali kilat itu
menerangi mereka (dengan pancarannya) mereka berjalan dengan cahayanya,
dan apabila gelap menyelubungi mereka, berhentilah mereka menunggu dengan
kebingungan. Dan sekiranya Allah menghendaki, nescaya dihilangkan
pendengaran dan penglihatan mereka; sesungguhnya Allah Maha berkuasa di
atas segala sesuatu”.
Namun apa yang lebih membimbangkan ialah ketakutannya untuk mencari dan
meneliti jalan-jalan kebenaran menyebabkan ia terus berhenti di atas kesesatan
yang berpanjangan. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Mereka (seolah-olah) orang yang pekak, bisu dan buta. Dengan keadaan itu
mereka tidak akan dapat kembali kepada kebenaran”.
Hakikat kebenaran bukanlah jalan yang sukar, kerana laluannya dipenuhi
dengan lampu pertunjuk yang sentiasa menerangi manusia. Hanya keinginan
untuk menempuhi jalan-jalan tersebut serta kejahilannya menyebabkan ia
menyangka jalan-jalan kenabian dan kerasulan, dengan berpegang kepada
Islam, akan menyebabkan mereka tidak lagi dapat menikmati keindahan duniawi,
lalu kehidupannya akan malap dan tidak bersinar (ceria). Bisikan kebatilan ini
terus menghantui jiwa manusia, lantaran itulah jalan-jalan kebenaran walaupun
telah diterangi dengan panduan cahaya pertunjuk Ilahi, masih tidak mendapat
tempat yang sewajarnya.
Kita tidak seharusnya menafikan juga kebimbangan ini disebabkan oleh sejarah
lampau yang menakutkan manusia untuk melalui jalan-jalan tarekat dan tasauf,
yang terlalu banyak didorongi oleh nilai-nilai mistik yang mengelirukan,
bercampur dengan penyelewengan dan kekeliruan yang dibina di atas nama
tarekat dan tasauf; tambahan pula perkembangan ideologi rasionalisma yang
menguasai dunia kini yang disertakan dengan budaya lojik yang terpahat dalam
minda manusia kini, menyebabkan jalan-jalan ini tidak mendapat kedudukan
yang sepatutnya. Lantaran itu, keindahan syariat Islam hanyalah serpihan yang
berkecai dalam setiap sudut. Ia umpama permata yang tiada sinar atau bunga
yang telah hilang madunya, maka jadilah manusia kini sebagai manusia yang
telah hilang kemanusiaannya.
Buku Kebenaran Hakiki tulisan saudara Mohamad Nasir diharapkan menjadi
pembuka minat kepada umat Islam untuk mengetahui kebenaran dan
mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Dengan menggunakan pendekatan yang
mudah serta persembahan yang menarik, maka diharapkan pembaca akan lebih
dekat memahami beberapa persoalan yang berlaku dalam sejarah umat Islam; di
samping panduan dalam kehidupannya. Pendekatan yang beliau gunakan dalam
penulisan ini bukanlah sesuatu yang asing atau baru; hanya masing-masing
penulis mengolah dengan gayanya tersendiri dan beliau adalah sebahagian dari
umat Islam yang memikirkan sesuatu sumbangan yang boleh diberikan kepada
perjuangan dan kemurniaan aqidah Islam.
Meneliti nukilan saudara Nasir, maka saya mempunyai anggapan besar ia akan
menjadi suatu hasil penulisan yang cuba menjelaskan hakikat jalan-jalan yang
indah, yang cuba dikongsikan bersama pembaca yang lain. Walaupun hakikat
keindahan sesuatu tidak akan sama antara yang melalui dan merasainya dengan
segolongan yang hanya mengetahui melalui pembacaan atau mendengar dari
seseorang yang menempuhi jalan-jalan tersebut, “Keenakan sebiji buah hanya
dapat dihayati oleh yang memakannya”, namun diharapkan ianya menjadi
pendorong yang kuat kepada semua pembaca untuk meneruskan penelitian dan
pengamatan terhadap jalan-jalan kebenaran yang murni ini, agar seluruh
keindahan Islam dapat dihayati dalam ertikata sebenar, zahir dan batin.
Saya mengakui pengamatan yang singkat yang saya lakukan mungkin
mempunyai banyak kelemahan, namun dengan rendah diri saya memohon
tunjukajar dan pandangan baik semua pembaca. Penulisan ini diharapkan
menjadi dorongan kepada penulis untuk terus berkecimpung memberikan
sumbangan untuk kemajuan dan meningkatkan lagi khazanah ilmuan Islam.
Semoga diberkati Allah s.w.t.
Wednesday, 27 May 2009
Subscribe to:
Posts (Atom)
